KUALA LUMPUR 28 Mei – Masyarakat dipelawa untuk kembali memberi kepercayaan dan tidak gusar dengan agihan dan penggunaan wang amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, khabar angin dan laporan mengenai kes-kes melibatkan agensi itu disifatkan sebagai kes lama.
Kata beliau, semua kes itu dalam pengetahuan Lembaga Pengarah Amanah Yapeim yang baharu dilantik berkuatkuasa bermula 1 November tahun lalu.
“Tindakan dan siasatan tanpa pilih kasih sedang berlangsung dan insya-Allah kami boleh memberi jaminan prosesnya akan bertepatan dengan peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Yapeim juga berhasrat memastikan ketelusan dan dengan itu membentangkan posisi kewangan dari Tabung Amanah Yapeim kepada awam setiap tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Ogos tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, Yapeim antara agensi yang berada dalam radar pihaknya dan “tidak akan membiarkan” penyelewengan jika berlaku.
Seterusnya, tindakan penggantungan sementara tugas Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin berkuat kuasa pada 21 Mei lalu untuk membolehkan siasatan yang menyeluruh berkenaan dakwaan salah laku dapat dijalankan. – UTUSAN ONLINE











