Tetap ada cabaran - Cheng Hoe - Utusan Malaysia

Tetap ada cabaran – Cheng Hoe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mei – Berita gembira yang diterima Harimau Malaya untuk aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2020 dan Kelayakan Piala Asia 2023, bukan bererti jalan mudah buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

Pasukan kebangsaan bukan sahaja tidak perlu terbang ke Dili, Timor Leste tetapi para pemain juga berpeluang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga selepas tarikh perlawanan pertama kedua-dua pasukan yang ditetapkan pada 6 Jun (Hari Raya ke­dua) dipinda kepada 7 Jun setelah mendapat kelulusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Cheng Hoe berkata, kedua-dua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, sudah pasti memberi kelegaan dan kelebihan itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, para pemain perlu diingatkan agar tidak melupakan tugas penting itu ketika diberikan pelepasan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Memang kita perlu ambil kesempatan apabila kedua-dua perlawanan bermain di laman sendiri. Semua orang beranggapan menentang Timor Leste adalah aksi mudah buat pasukan negara tetapi tidak bagi saya.

“Dalam bola sepak, pasukan mana yang gagal memberikan permainan terbaik dan hilang fokus, mereka akan dihukum dan saya tidak mahu perkara itu berlaku kepada kami. Timor Leste beraksi baik pada Piala AFF tahun lepas dan mereka mempunyai semangat juang cukup tinggi.

“Apapun kita bersedia dengan semua itu. Pemain kemungkinan besar akan dilepaskan pada hari raya pertama tetapi saya harap mereka tidak terlalu leka beraya sehingga melupakan tugas penting ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui barisan kejurulatihan masih memantau perkembangan prestasi pemain-pemain dalam saingan Liga Malaysia, sebelum memanggil barisan terbaik untuk menjalani latihan pusat pada 27 Mei nanti.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini