KUALA LUMPUR 5 Mei – Berstatus kelab kerdil tidak menghalang Teratak Twelve FC daripada membuat kerja amal apabila menganjurkan perlawanan amal bola sepak yang bertujuan untuk mengutip derma dan disalurkan kepada bekas pemain Selangor, Anuar Bakar yang kini menghidapi kanser hati tahap empat.
Perlawanan amal tersebut melibatkan Teratak Twelve FC menentang Selangor Elit diadakan di Padang Flat Sri Johor, Cheras pada 1 Mei lalu itu yang menyaksikan Selangor Elit menang 6-5.
Penaung Teratak Twelve FC, Datuk Kamil Mohktar berkata penglibatan daripada penduduk setempat amat menggalakkan malah perlawanan tersebut meriah dengan kehadiran mereka.
“Alhamdulillah, kami mendapat sokongan padu daripada penduduk di kawasan sekitar. Perlawanan ini menjadi menjadi titik tolak di mana saya fikir kami akan mengadakan lagi perlawanan seperti ini bagi memberi bantuan kepada mana-mana bekas pemain yang memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hair ini.- UTUSAN ONLINE











