NEW DELHI 15 Mei – Seorang lelaki India bernasib baik kerana masih hidup selepas doktor mengeluarkan lebih 116 paku besi dan dawai panjang dari dalam perutnya.
Lapor RT, seorang pakar bedah di Bundi, Dr. Saini terkejut selepas imbasan X-ray menunjukkan perut Bhola Shankar dipenuhi dengan objek tajam.
“Saya mencadangkan pemeriksaan imbasan CT. Imbasan berkenaan juga mengesahkan perkara yang sama dan pesakit itu telah menjalani pembedahan Isnin lalu,” katanya.
Shankar sebelum itu mengadu sakit teruk pada bahagian abdomennya.
Pembedahan tersebut mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan objek terbabit daripada tubuhnya.
Kebanyakan paku berkenaan berukuran 6.5 sentimeter panjang yang boleh mengakibatkan kecederaan sukar dirawat apabila ia memasuki bahagian usus.
Shankar, yang bekerja sebagai pekebun dikatakan mempunyai masalah mental dan tidak dapat menjelaskan mengapa dia bertindak demikian.
Menurut doktor, berkemungkinan Shankar telah makan semua objek tersebut untuk satu tempoh yang lama. – AGENSI











