YAN 4 Mei – Ketika para petani mempersoalkan cadangan penanaman padi pada waktu malam, berbeza pula dengan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melihat perkara itu sebagai amalan biasa pesawah zaman dahulu.
Menteri Besar itu berkata, penanaman padi pada waktu malam bukanlah suatu perkara baharu dan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai perkara itu ada asasnya.
Katanya, ia berdasarkan ingatan Dr. Mahathir ketika zaman mudanya yang melihat aktiviti menanam padi dilakukan pada waktu malam.
“Bagi sesetengah orang mungkin ia (tanam padi waktu malam) dianggap pelik dan di luar kotak. Sebenarnya, itu amalan pesawah dulu-dulu.
“Mungkin Dr. Mahathir sebagai orang yang paling lama antara kita, beliau ingat perkara itu (penanaman padi waktu malam).
“Saya masih ingat ketika zaman kecil apabila dibawa pergi ke Tokai, Pendang. Memang saya lihat ada pesawah bekerja pada waktu malam dengan memasang lampu gasolin,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Jom
Turun Bendang di Sungai Limau Dalam di sini, hari ini.
Kelmarin, Dr. Mahathir memaklumkan bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilaporkan berkata, inisiatif ini juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing yang kini mencecah tujuh juta.
Bagaimanapun cadangan Dr. Mahathir itu disambut sinis oleh para petani yang menyifatkan aktiviti tanaman padi pada waktu malam itu sebagai tidak masuk akal.
Sementara itu, Mukhriz berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan menanam padi pada waktu malam jika perkara tersebut boleh membawa manfaat kepada pesawah.
“MADA akan meneliti perkara itu dengan melihat kesesuaian tempat, keadaan dan masa mengenai cadangan itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE











