KUALA LUMPUR 28 Mei – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan kenyataannya bahawa juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City berminat membeli salah satu kelab tempatan.
Beliau menjelaskan jika ada pihak tidak boleh menerima hakikat itu atau tidak mempercayainya, mereka boleh bertanya kepada ramai saksi yang ada pada pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) City, Ferran Soriano, Khamis lalu.
Antara yang berada dalam mesyuarat itu adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Mereka boleh bertanya kesahihan berita itu daripada mereka,” ujarnya yang turut menjelaskan, pelan kerjasama City dengan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut menjadi topik perbincangan.
Sambil meminta pihak terbabit membaca dengan betul tajuk berita yang mempunyai tanda soal (question mark) yang disiarkan beberapa media, Syed Saddiq mengakui, isu City membeli kelab tempatan itu ada disebut dalam pertemuan dengan Soriano itu tetapi ia belum dapat dimuktamadkan lagi.
“Dalam mesyuarat tersebut bukan saya seorang. Datuk Ahmad Shapawi ada, Tengku Zafrul ada, pegawai mereka juga ada.
“Semua dengar dan pada masa sama sebelum saya adakan sidang akhbar tersebut, saya maklumkan boleh tak saya katakan dua perkara ini,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan, berita City mahu membeli kelab Malaysia adalah tidak benar.
Sambil memuat naik teks yang diterima daripada Soriano dalam aplikasi WhatsApp, Tunku Mahkota Johor itu berkata, delegasi City datang ke Malaysia untuk bertemu salah satu penaja komersial. – UTUSAN ONLINE











