PERSIAPAN skuad Harimau Malaya sedikit terjejas apabila terpaksa melepaskan khidmat pemain pertahanan, Muhammad Syahmi Safari ekoran masalah kecederaan buku lali dan memerlukan lebih rehat.
Perkara tersebut dijelaskan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe pada sesi latihan sulung di UM Arena, Universiti Malaya, Kuala Lumpur kelmarin menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun depan.
Seramai 24 daripada 26 pemain telah melapor diri, namun hanya 23 sahaja yang turun padang ekoran Syahmi terpaksa digugurkan ekoran kecederaan tersebut manakala dua pemain Pahang iaitu Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha diberi kelonggaran melapor diri lebih lewat apabila mempunyai hal peribadi yang perlu diselesaikan.
Cheng Hoe memberitahu, biarpun kehilangan khidmat Syahmi, beliau optimis untuk melihat kelebihan yang mampu digunakan oleh Harimau Malaya untuk mencari kemenangan pada dua aksi berkenaan berbanding resah memikirkan mengenai kemampuan Timor Leste.
“Tidak kira dengan mana pasukan kita berdepan sekali pun, sudah tentu kita perlu melihat pasukan sendiri daripada runsing memikirkan pihak lawan.
“Kita perlu lihat kekuatan serta cara kita bermain kerana sudah tentu kami ingin menyelesaikan misi kali ini dengan baik. Aksi kelayakan dan persahabatan adalah sama penting buat pasukan.
“Berkenaan Syahmi, selepas mendapat laporan daripada doktor, kami terpaksa menggugurkannya kerana dia masih perlukan rehat kerana berdepan kecederaan buku lali sejak dua minggu lalu ketika beraksi dengan Selangor,” katanya ketika ditemui di UM Arena kelmarin.
Pada masa sama, Cheng Hoe menjelaskan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kelewatan Sumareh dan Norshahrul melaporkan diri kerana mereka berdua mempunyai perkara peribadi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Apa pun saya tetap menghormati keputusan mereka dan berharap dua pemain ini dapat menyertai pasukan secepat mungkin,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menjalani latihan sehingga Jumaat di UM Arena sebelum berdepan Nepal dalam aksi persahabatan pada 2 Jun di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai persediaan menghadapi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 lima hari berikutnya di venue yang sama.











