Sultan Nazrin berangkat ke sambutan Nuzul al-Quran - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin berangkat ke sambutan Nuzul al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH 21 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke Sambutan Nuzul al-Quran peringkat negeri dan majlis berbuka puasa di Masjid Toh Puan Besar Hatijah di sini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Yang turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman, barisan exco kerajaan negeri serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan terjemahan sebelum baginda berkenan melancarkan program Tadabbur al-Quran peringkat negeri diikuti oleh majlis tahlil serta doa selamat.

Selepas berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bernilai RM1.9 juta kepada lapan penghulu mukim untuk diagihkan kepada 7,610 penerima.

Antara mukim yang menerimanya termasuklah Mukim Ulu Kinta Ipoh, Chemor, Tanjung Rambutan, Lahat, Sungai Raia, Sungai Terap, Tanjung Tualang dan Belanja.

Sultan Nazrin turut berkenan menyaksikan penyampaian cek zakat fisabilillah dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak yang disampaikan oleh Pengurus Besarnya, Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid kepada Pengerusi Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Halizah Sipun.

Majlis kemudian diakhiri dengan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini