JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkongsi kegemaran baginda terhadap kuda dan menunggang kuda dengan Ratu Elizabeth II dalam acara pertunjukan Kuda Winsdor di England pada Jumaat.
Keberangkatan Sultan Ibrahim ke sana adalah atas jemputan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dan disambut mesra oleh Ratu Elizabeth.
Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, baginda serta Raja Hamad bertemu dengan Ratu Elizabeth sejurus Raja Inggeris itu tiba di acara ekuestrian yang terkenal di dunia itu.
Sultan Ibrahim yang meminati ekuestrian serta baginda sendiri merupakan pemain polo menghabiskan masa beberapa minit bercakap dengan Ratu Elizabeth tentang minat bersama mereka terhadap kuda dan menunggang kuda.
Dalam acara itu Sultan Johor juga berbual mesra dengan anak kedua Ratu Elizabeth – Putera Andrew, Duke of York yang berminat mengetahui lebih mendalam mengenai Johor. – Bernama











