MEMANG betul bukan mudah menjadi ibu bapa zaman sekarang ni. Apatah lagi apabila kehidupan kita seolah-olah dikuasai kecanggihan teknologi. Mana taknya, umur tujuh, lapan tahun pun ibu bapa sudah beri telefon pintar. Jika sekadar untuk berhubung antara ahli keluarga tu mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi kalau dah diberikan sepenuhnya hak kepunyaan telefon itu kepada anak-anak dan dimasukkan pula internet, rasanya, ia bukan sekadar untuk berhubung.
Tambahan pula jika sejenis ibu bapa yang tidak memantau penggunaan telefon itu. Dibiarkan sahaja anak-anak guna. Anak-anak sekolah rendah pun dah ada group WhatsApp sesama rakan mereka. Diorang lagi terror buat akaun sendiri media sosial seperti Facebook, Instagram, WeChat.
Kalau tengok kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) terhadap jumlah pengguna internet rakyat negara ini, golongan yang paling banyak online adalah budak-budak yang masih bersekolah iaitu selama 20.9 jam seminggu. Keghairahan mereka ini guna aplikasi media sosial juga amat membimbangkan sekali gus memudahkan mereka terjebak dalam kes jenayah seksual.
Baru-baru ini, terkejut Akak Cute dengar cerita daripada seorang kawan yang tertengok telefon anak saudaranya yang lupa lock. Dia terbaca perbualan WhatsApp anak saudaranya itu dengan teman lelakinya. Mengucap panjang bila scroll ke atas terpandang gambar bogel yang saling dihantar antara mereka berdua. Sembang lucah tak usah cakap lah. Naik malu rasanya. Terus terfikir, mak bapak dia ni tak check ke telefon anak-anak? Bayangkan kalau perbualan itu bukan sekadar di telefon sahaja. Tentunya diajak berjumpa. Orang kata takkan nak ‘stim’ sorang-sorang kot. Hishh minta jauhlah berlaku kejadian tidak diingini. Risau pula mereka ‘praktikkan’ apa yang disembangkan dalam WhatsApp tu. Kalau bukan sejauh itu pun, in case lah gambar bogel itu tersebar? Mana nak letak muka mak bapak. Apatah lagi sekarang ini semua nak viral.
Mengikut statistik, sebanyak lima kes rogol kanak-kanak berlaku setiap hari dengan 13,272 kes dilaporkan sejak 2010 lagi. Majoriti mangsa kenal penjenayah dan hampir 90 peratus mangsa berkenalan melalui media sosial terutama WeChat. Jangan pula anak kita sendiri tergolong dalam statistik itu. Nauzubillah!
Oleh itu ibu bapa, tolonglah buat spot check telefon anak-anak tu. Wajib berada dalam friend list media sosial diorang. Sekali-sekala stalk dengan siapa mereka berkawan. Walaupun benda-benda teknologi ni budak-budak lebih bijak nak putar-belit, sekurang-kurangnya kita ambil tahu setakat yang mampu. Dan tugas ni jangan hanya dilepaskan kepada ibu. Kaum bapa please-lah bertanggungjawab sama. Jangan nanti nasi dah jadi bubur baru nak menyesal dan tahu nak menyalahkan isteri sahaja. Walaupun bukan mudah, jadilah ibu bapa yang bijak.











