IPOH 2 Mei – Kementerian Pendidikan meluluskan peruntukan bagi membina bangunan baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang di Chemor dekat sini.
Peruntukan diberi susulan lawatan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ke sekolah berkenaan pada 7 April lalu ketika meninjau keadaan dan keperluan sekolah tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan memberitahu, SJKT Klebang mempunyai bilangan murid yang ramai tetapi kemudahannya terhad.
Menurut kenyataan itu, pembinaan bangunan baharu yang akan dibuat di tapak sekolah sedia ada dapat menyelesaikan masalah tersebut.
“Keperluan ini juga telah disuarakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
“Hasil perbincangan dengan beliau, kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.6 juta bagi pembinaan bangunan baharu,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, peruntukan itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan bermutu bagi sekolah-sekolah Tamil supaya proses pengajaran dapat dilakukan dalam persekitaran yang kondusif.
“Bagi pihak kementerian, fokus utama adalah kesejahteraan anak-anak murid dan segala usaha yang perlu akan diambil untuk memastikan ekosistem sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik,” ujar kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE











