“SISTEM perolehan kita dah lama rosak, banyak kelemahan dan mudah dimanipulasi. Kerap berlaku rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan.”
Begitulah pendapat seorang sahabat, Datuk Karim (bukan nama sebenar), pesara kerajaan yang berpengalaman luas dalam bidang perolehan sewaktu bertugas pada zaman sewaktu mudanya di Putrajaya. Selepas bersara, beliau pulang ke tempat asalnya di Kedah, di mana saya mula berkenalan dengannya.
Terkejut dengan kata-kata sahabat saya itu, saya merasa tercabar untuk mengetahui sendiri apakah benar sistem perolehan di negara kita ini sudah rosak seperti yang dikatakan olehnya.
Saya dapati memang benar undang-undang perolehan kita sudah usang. Juga benar kita belum ada satu Akta Perolehan moden, seperti yang ada di Denmark (Akta Perolehan Awam 2015, mengandungi 199 seksyen), Croatia (Akta Perolehan Awam 2013, mengandungi 188 Artikel) dan beberapa negara lain. Sebaliknya apa yang kita ada hanyalah Akta Prosedur Kewangan 1957, Akta Perwakilan Kuasa 1956 dan Akta Kontrak Kerajaan 1949. Tiga undang-undang ini disokong pula oleh beberapa instrumen lain seperti Arahan Perbendaharaan, Pekeliling Perbendaharaan, Pekeliling Kontrak Pusat Persekutuan dan Garis Panduan.
Lawatan ringkas saya ke portal rasmi Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa kerajaan telah mewujudkan Dasar Perolehan (mengandungi empat perkara) dan Prinsip Perolehan (mengandungi lima perkara).
Empat perkara Dasar Perolehan itu adalah dasar keutamaan bumiputera dalam perolehan kerajaan, dasar penggunaan kandungan/produk/perkhidmatan tempatan, dasar barangan import melalui kaedah free on board (FOB) dan dasar offsets dan pemindahan teknologi.
Lima perkara Prinsip Perolehan kerajaan itu pula adalah akauntabiliti awam, persaingan terbuka, ketelusan, adil dan saksama serta nilai faedah terbaik.
Perolehan Kerajaan (PK) terdiri daripada tiga jenis – iaitu kerja, bekalan dan perkhidmatan. Mana-mana syarikat yang ingin menyertai perolehan kerja perlu berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), manakala syarikat yang ingin menyertai perolehan bekalan dan perkhidmatan perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang berkenaan.
Kaedah perolehan pula terbahagi kepada pembelian terus, lantikan terus/pusingan kerja/melalui undian, sebut harga dan tender.
Bagi memastikan persaingan terbuka, sistem perolehan memperincikan 10 perkara kesamarataan, manakala bagi memastikan nilai faedah terbuka, kerajaan memperkenalkan sistem E-perolehan.
Bagi mengukuhkan sistem perolehan kerajaan, pada 1 April 2010, Integrity Pact dilancarkan dan satu garis panduan diperkenalkan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan syarikat serta penjawat awam yang terlibat dalam pengurusan perolehan. Selain itu, setiap agensi awam yang terlibat dalam urusan perolehan ini dikehendaki mengemukakan laporan bulanan berkaitan Integrity Pact itu kepada Kementerian Kewangan.
Sepatutnya dengan segala peraturan, kaedah, garis panduan serta Integrity Pact yang diperkenalkan itu, sistem perolehan negara kita mampu berjalan dalam keadaan yang baik dan sempurna. Malangnya, realitinya tidak begitu.
Laporan Ketua Audit Negara 2017 mendedahkan, banyak kelemahan dan ketirisan berlaku dalam sektor perolehan. Agar penyakit lama ini tidak berterusan, sewaktu membentangkan Bajet 2019 di Dewan Rakyat pada 2 November lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan bahawa satu Akta Perolehan baru ‘akan digubal’ pada tahun ini (2019) dan mungkin boleh dikuatkuasakan dalam masa terdekat. Selain meningkatkan ketelusan dan persaingan sihat, akta ini bertujuan menghukum mereka yang terlibat dalam salah guna kuasa, kecuaian dan rasuah.
Ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah
Pada Mac 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aduan berlakunya manipulasi sistem perolehan tentera laut di Lumut, Perak. Hasil siasatan menunjukkan bahawa dalam skandal perolehan di pangkalan tentera laut itu, RM48 juta bertukar tangan antara 21 pembekal dan pihak-pihak tertentu.
Pada Julai 2016, satu kontrak mega bernilai RM9.4 bilion diberi kepada Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan. Di bawah kontrak kerja itu, satu jumlah bayaran yang amat besar (RM8.3 bilion, merupakan 88 peratus nilai projek) telah dikeluarkan kepada syarikat walaupun nilai kerja yang telah sempat dilakukan olehnya adalah sekadar 13 peratus sahaja. Selain itu, SSER juga telah gagal mendapatkan hak daripada Petronas untuk meletakkan paip gas dari Melaka ke Port Dickson dan gagal mendapatkan tanah di Sabah untuk meletakkan paip dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau.
Pada Januari 2017, sebuah syarikat tempatan mendapat kontrak membekalkan peralatan kuasa solar ke 369 sekolah di Sarawak. Di bawah kontrak yang diberi secara terus oleh Kementerian Pendidikan, syarikat boleh mendapat hasil kira-kira RM21.8 juta setiap bulan. Walaupun pengarah urusan syarikat itu mendakwa pemberian kontrak melalui rundingan terus adalah sah, hakikatnya semua kontrak melibatkan nilai melebihi RM500,000 hendaklah menerusi proses tender awam, bukan secara runding terus.
Pada Jun 2018, sebuah portal berita mendedahkan skandal perolehan bahan ubatan dan farmaseutikal yang menggunakan tender agents. Mengikut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, skandal ini melibatkan kerugian kerajaan antara RM3.7 hingga RM4.8 bilion.
Mengikut dokumen Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, sektor perolehan merupakan sektor tertinggi cenderung kepada rasuah dalam tempoh lima tahun (2013-2018). Dalam tempoh itu, sektor perolehan mencatatkan 42.8 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima SPRM, diikuti sektor penguatkuasaan sebanyak 23.9 peratus.
Kenyataan dalam NACP ini selari dengan kandungan Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun yang memperincikan berlakunya banyak kes ketirisan, pembaziran, kelewatan pelaksanaan projek, rasuah dan penyelewengan dalam pembelian.
Pada Ogos 2018, Institut Arkitek New Zealand menyeru kerajaan negara itu untuk segera memperbaiki sistem perolehan negara yang sudah rosak jika tidak mahu kehilangan jutaan dolar setiap tahun.
Seruan sama wajar disampaikan kepada kerajaan kita. Selain menggubal satu Akta Perolehan moden, kerajaan juga perlu memperbaiki dan memperbetulkan sistem perolehan yang ada sekarang.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.











