KUALA LUMPUR 21 Mei – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah selepas merampas 119 ketulan dadah mampat disyaki ganja yang dianggarkan bernilai RM243,000 dalam serbuan di Bandar Sunway, dekat sini semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 9.25 pagi semalam.
“Dalam serbuan tersebut, kita telah menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 33 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang dibawa masuk dari negara jiran.
“Selain dadah disyaki ganja seberat 121.23 kilogram, kita turut merampas sebuah kereta Toyota Vios, motosikal Yamaha LC135 dan wang tunai berjumlah RM1,150,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini hari ini.
Menurut Kamarulzaman, beberapa lagi suspek yang dipercayai ahli sindiket turut diburu dan pihaknya percaya, penangkapan dua suspek tersebut berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan.
Tambahnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Mei depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











