“Tanpa alif, tidak akan ada ba, ta, sa, jim.” Demikianlah Sugeng Satya Dharma, seorang sasterawan Medan, Indonesia, berbicara tentang tulisan jawi menerusi watak aku dalam cerpennya bertajuk FUIT. Isu tentang nasib bahasa dan tulisan jawi juga dibangkitkan secara halus oleh Fairul Pujangga melalui pementasan teater Ratib 3 Persona di Stor Teater DBP baru-baru ini.
Pada latar pentas, muncul huruf-huruf jawi dalam samar-samar cahaya yang menyorot watak Pendeta, Zaman dan Sukma. Kesamaran citra itu memberi isyarat jelas kepada penonton bahawa tulisan jawi dan bahasa berdepan nasib yang rencam dalam era Revolusi Industri 4.0 ini. Suatu isyarat yang menuntut pertanggungjawaban bahawa sistem tulisan jawi wajib dipertahankan.
Umum mengetahui, sejarah perkembangan sistem tulisan jawi di tanah air cukup berkelok dan panjang. Sistem tulisan jawi telah memainkan peranan penting dalam peradaban Melayu. Tulisan jawi pernah diguna pakai dalam urusan pentadbiran kerajaan, perundangan, hubungan diplomatik bahkan sebagai wahana dalam persuratan (akhbar dan majalah).
Ding Choo Ming dalam tulisannya di Majalah Pemikir bilangan 45 (2006); lebih 400 akhbar dan majalah Melayu bertulisan jawi telah diterbitkan antaranya Jawi Peranakan (1876), Nujum’l Fajar ( 1877), Bintang Timur (1900), Al-Imam (1906), Utusan Melayu (1939), Majalah Al-Islam (1912) dan Majalah Pengasuh (1918). Hukum Kanun Melaka merupakan contoh terbaik pengaplikasian tulisan jawi dalam bidang perundangan.
Sistem tulisan jawi telah menjalani fasa-fasa asimilasi dengan budaya penutur di rumpun Melayu. Bukti tulisan jawi sebagai medium penulisan disahkan berdasarkan penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 Hijrah pada tahun 1902 di Kampung Buluh, Kuala Berang, Terengganu.
Penemuan itu amat signifikan dengan teori kedatangan Islam ke alam Melayu oleh pedagang-pedagang Arab. Pertembungan budaya Arab-Melayu membawa kepada berkembangnya sistem tulisan ini. Aksara-aksara Arab diguna pakai sebagai medium penulisan serta dipadankan dengan beberapa aksara baru seperti huruf pa, ca, nga, ga dan nya. Aksara tersebut disesuaikan dengan lidah para penutur asal di wilayah ini.
Sumbangan dua tokoh, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) dan Mokhtar bin Talib (Pak Matlob) dalam perkembangan sistem tulisan jawi tidak dapat dinafikan lagi. Peranan yang dimainkan oleh Za’ba dalam menganalisis serta membangunkan sistem ejaan dan tulisan jawi menjadi begitu penting. Terhasilnya Daftar Ejaan Melayu –Jawi dan Rahsia Ejaan Jawi di tangan Pendeta Za’ba, menjadi rujukan kepada generasi seterusnya.
Pak Matlob yang terkenal sebagai pandai jawi gigih memperkembangkan tulisan jawi kepada masyarakat. Tokoh jawi ini telah menghasilkan beberapa naskhah jawi yang terkenal antaranya Rahsia Belajar Jawi, Pak Pandir Turun ke Sawah dan Mari Mengenal Jawi.
Sementara itu, Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad merupakan satu-satunya syarikat akhbar yang dilihat amat tekal dalam perjuangan memartabatkan tulisan jawi. Sejak awal penubuhannya pada tahun 1938, syarikat ini berperanan menerbitkan akhbar bertulisan jawi (Utusan Zaman) dan konsisten sehingga kini.
Trend pembaca yang berubah sesuai peredaran zaman, menjadi cabaran terbesar kepada perjuangan Kumpulan Utusan. Edisi cetakan terpaksa diberhentikan penerbitannya pada Januari 2006 dan kembali diterbitkan empat bulan kemudiannya secara berkala. Edisi ini dikenali sebagai Utusan Melayu Mingguan. Semangat syarikat penerbitan ini tidak pernah mati.
Sejajar perkembangan teknologi elektronik dan digital, Utusan Melayu Mingguan kini diterbitkan dalam versi digital. Edisi digital ini boleh diakses menerusi Portal Jawi Utusan Melayu di www.utusan.com.my. Amat membanggakan, potensi tulisan jawi diperkembang ke peringkat universal menerusi capaian maya. Kejayaan ini dicapai hasil kerjasama antara Utusan Melayu dengan dibantu oleh beberapa syarikat korporat antaranya Johor Corporation (J-Corp).
Dalam era IR 4.0, golongan penulis harus mempunyai semangat seperti yang telah ditunjukkan oleh Utusan Melayu dan tokoh-tokoh terdahulu dalam mempertahankan tulisan jawi. Persatuan-persatuan penulis sama ada berdaftar atau maya (Facebook), perlu menggalakkan ahlinya menghasilkan karya sastera dalam tulisan jawi.
Sebagai contoh, Persatuan Kerabat Seni Negeri Sembilan (KSNS) telah menjalin kerjasama strategik dengan Unit Penerbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dalam usaha menerbitkan sebuah antologi bertulisan jawi.
Antologi Puisi Tradisional bertulisan jawi dengan tema Sirah Nabawiah diselenggarakan oleh penulis sendiri, Ratna Laila Shahidin (Pensyarah IPGKRM) dan Dr. Faiziah Shamsudin (Pensyarah IPGKRM). Sebanyak 25 penulis bergabung menghasilkan karya puisi tradisional dalam tulisan jawi iaitu syair, gurindam, nazam dan pantun.
Berdasarkan pengamatan penulis sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019, karya sastera dalam tulisan jawi amat sukar diperolehi. Penerbitan bahan bacaan kanak-kanak bertulisan jawi juga semakin kecil bilangannya. Wujud kelompangan dalam kitaran penawaran bahan-bahan bacaan bertulisan jawi dalam pasaran buku tempatan.
Kementerian Pendidikan telah mewujudkan subjek Jawi–Al-Quran (J-QAF) di sekolah rendah seluruh negara sejak tahun 2004. Mata pelajaran ini dirangka dengan matlamat melahirkan generasi celik jawi dan pandai Al-Quran. Pada peringkat pasaran terbuka, golongan penulis berpotensi sebagai penyedia bahan-bahan bacaan dalam jawi bagi keperluan pembelajaran pelajar.
Masalah kekurangan bahan bacaan dapat diatasi melalui sistem sokongan seperti ini. Pemain industri buku, persatuan penulis bahkan penulis yang berhasrat menerbitkan buku sendiri (swaterbit) menjadi penggerak kepada budaya penghayatan tulisan jawi.
Penulis mencadangkan agar Kempen Semarak Jawi pada tahun 2007 diwujudkan kembali. Langkah pemerkasaannya wajib lebih tersusun. Agensi-agensi seperti Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Pena dan Gapena boleh dilibatkan secara aktif ke arah pelestariannya. Tulisan jawi mempunyai hak dan maruah untuk dimahkotakan kembali.











