SUNGAI PETANI 21 Mei – Sebanyak 14 buah sekolah rendah dan menengah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid dan surau di bawah Parlimen Merbok, telah menerima sumbangan berjumlah RM210,000 sempena Program Karnival Semarak Ramadan 2019 di Dewan Serbaguna Laguna Merbok di sini, hari ini.
Peruntukan itu diberikan kepada sebanyak 14 buah sekolah rendah dan menengah yang berjumlah RM172,000 diikuti NGO (RM20,000) dan masjid serta surau (RM18,000).
Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, peruntukan berkenaan diluluskan setelah pihak-pihak terbabit mengemukakan permohonan masing-masing sejak tahun lepas.
“Melalui wang itu, pihak berkenaan bolehlah menggunakannya bagi kegunaan seperti memperbaiki pejabat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut beliau, pihaknya turut mengedarkan 3,000 keping penanda buku kepada guru-guru sekolah mengandungi Puisi Datuk Osman Awang 1979 bertajuk Guru Oh Guru.
Di samping itu, Nor Azrina juga menyampaikan hadiah utama kepada Rohayu Abdul Hamid, 38, dari Taman Universiti Semeling yang memenangi Pertandingan Gubahan Tuala Hantaran dengan menewaskan 19 peserta lain di program karnival tersebut. – UTUSAN ONLINE











