KUALA LUMPUR 28 Mei – Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn. Bhd., Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman memberitahu, beliau pasti akan menghubungi Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta penjelasan jika mengetahui wang RM42 juta dipindahkan ke dalam dua akaun Ambank milik bekas Perdana Menteri itu.
Ini kerana, menurut Dr. Shamsul Anwar, beliau mempunyai hubungan komunikasi terus dengan Ahli Parlimen Pekan itu.
Menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada sesi soal balas, saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, beliau tidak mengetahui bahawa akaun AmPrivate Banking -1MYdan AmPrivate Banking – MY dengan nombor akaun berakhir 880 dan 906 adalah milik Najib.
“Saya akan menghubungi beliau (Najib) bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut,” katanya.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Dr. Shamsul Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak akan mengarahkan pembayaran RM42 juta itu jika mengetahui dua akaun terbabit adalah milik Najib.
Katanya, ketika membuat arahan bagi pembayaran itu pada 26 Disember 2014 dan 9 Februari 2015, beliau tidak mengetahui bahawa pembayaran akan dimasukkan ke dalam akaun Najib. – UTUSAN ONLINE.











