LONDON 7 Mei – Vincent Kompany mengakui dia biasa menjaringkan gol jarak jauh seperti ketika membantu Manchester City menundukkan Leicester semasa sesi latihan.
Jaringan pertama Kompany dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini kembali meletakkan City di kedudukan teratas liga mengatasi Liverpool dengan baki satu perlawanan hujung minggu ini.
Pada minit ke-70 di Stadium Etihad, Kompany meledak jaringan ke penjuru kiri gawang Kasper Schmeichel.
City akan mempertahankan kejuaraan mereka sekiranya berjaya meraih tiga mata ke atas Brighton dalam perlawanan terakhir, Ahad ini.
“Saya tidak menjaringkan gol musim ini tetapi dalam keadaan seperti ini, saya akan lakukan sesuatu.
“Ada sedikit kekecewaan kerana ramai menyuruh saya supaya tidak melakukan percubaan dan perkara itu menjengkelkan saya. Saya tidak berada di sini semata-mata untuk mendengar mereka berkata supaya saya jangan lakukan percubaan, jadi saya lakukannya.
“Saya lakukan jaringan seperti ini semasa latihan. Agak kelakar apabila saya sudah lebih 15 tahun beraksi di peringkat tertinggi sebagai pemain tengah tiba-tiba ada yang menyuruh saya agar tidak melakukan percubaan,” katanya.-AGENSI











