PETALING JAYA – Penyedia perkhidmatan komunikasi, My International Mobile Sdn. Bhd. (MyPrepaid) mengunjurkan peningkatan kepada 200,000 pelanggan bagi segmen prabayar syarikat menjelang tahun 2021.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Fadillah Mat Said berkata, sasaran berkenaan bakal dipacu pelancaran Kad SIM Glamor MyPrepaid Edisi Eksklusif Rozita Che Wan untuk pasaran pengguna.
Beliau berkata, ketika ini MyPrepaid mempunyai sebanyak 20,000 pelanggan sejak diperkenalkan pada tahun 2016.
“Kami yakin kerjasama eksklusif dengan Rozita sebagai rakan jenama ini dapat memacu jumlah langganan MyPrepaid sekali gus dapat memanfaatkan pasaran yang luas bagi segmen prabayar di Malaysia.
“Terdapat 43 juta pengguna telefon mudah alih di Malaysia dan 80 peratus daripadanya menggunakan kad prabayar. Rozita yang mempunyai personaliti menarik dijangka dapat menarik lebih ramai pelanggan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran kad SIM tersebut di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara baru-baru ini yang turut dihadiri Rozita selaku rakan jenama MyPrepaid.
MyPrepaid menggunakan platform rangkaian U Mobile yang mampu memperoleh liputan generasi keempat (4G) selain meliputi 92 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut Mohd. Fadillah, pelan yang ditawarkan syarikat mempunyai pelbagai manfaat tambahan berbanding pakej prabayar lain di pasaran.
“MyPrepaid menawarkan pelan harga super jimat yang memberikan tiga kali ganda lebih masa berbual, iaitu caj panggilan adalah 12.5 sen setiap blok 30 saat dan pelan penjimatan data pada harga RM38 untuk 12 gigabait data.
“Selain itu, kad prabayar ini juga disertakan dengan perlindungan takaful kemalangan peribadi percuma bernilai RM1,500 untuk setiap pengguna,” jelasnya.











