LONDON 26 Mei – Ketua jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri dilaporkan telah bersetuju untuk mengemudi Juventus pada musim depan setelah Pep Guardiola menolak tawaran tersebut.
Juara Serie A itu mencari pengurus baharu selepas Massimiliano Allegri mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Turin pada hujung musim ini.
Bos Manchester City, Guardiola menjadi sasaran utama Juve namun pengendali dari Sepanyol itu tidak berminat untuk meninggalkan jawatannya di Manchester.
Sarri yang mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika membimbing Napoli menjadi sebutan dan dia dijangka menerima tawaran selepas aksi final Liga Europa di antara Chelsea bertemu Arsenal, Rabu ini.
Antonio Conte dan Jose Mourinho turut menjadi pilihan Juventus bagaimanapun menurut media Itali, SNAI sportnews, Sarri sudah pun mendapat persetujuan bersama kelab untuk menggantikan Allegri.
Difahamkan, Sarri bakal menerima pendapatan 6.1 juta pound (RM32.4 juta) setahun dengan kontrak tiga tahun namun tiada pengumuman rasi dibuat hingga final Liga Europa di Baku. – AGENSI











