KUALA LUMPUR 25 Mei – Bunyi salakan anjing menyelamatkan nyawa seorang bayi lelaki selepas dia ditemukan dalam sebuah tong sampah di hadapan kedai serbaneka di Jalan 4/6B, Pandan Indah dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan dalam tong sampah berkenaan dengan dibalut tuala.
Seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata, pada kebiasaannya anjing di kawasan itu tidak akan menyalak dengan kuat terutama pada waktu pagi.
Katanya, curiga dengan keadaan itu, dia kemudiannya melakukan rondaan sebelum membuat pemeriksaan di dalam tong sampah selepas mendengar tangisan bayi yang sangat kuat.
“Apabila diperiksa, saya terkejut melihat bayi lelaki yang masih hidup di dalam tong sampah berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pekerja kedai serbaneka, Siti Norain Mohd Alias berkata, susulan kejadian itu, dia bersama beberapa individu kemudiannya memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum pasukan perubatan tiba.
“Bayi lelaki itu ditemukan dalam keadaan dibalut menggunakan kain berwarna biru dan dilapik menggunakan kotak.
“Susulan itu, tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital oleh pasukan perubatan yang tiba. Ini adalah kejadian pertama di kawasan ini dan sangat mengejutkan saya kerana berlaku betul-betul di hadapan kedai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mengetahui mengenai kejadian.-UTUSAN ONLINE











