Sabar urus isteri sakit mental - Utusan Malaysia

Sabar urus isteri sakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah untuk seorang suami mengurus isteri yang sakit lebih-lebih lagi berkaitan mental. Ditambah pula anak-anak mereka masih kecil dan turut memerlukan kasih sayang sepenuhnya.

Banyak perkara perlu dikorbankan bagi memastikan buah hati kesayangan selesa menjalani kehidupan seharian. Istilah masa lapang bukan lagi menjadi sebahagian dalam kamus hidup lelaki ini. Sebaliknya, masa senggang yang ada digunakan untuk berada di sisi isteri dan anak-anak.

Situasi itu dilalui oleh seorang asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Wan Yusoff Wan Daud, 60-an. Isterinya, Rashidah Tumadi, 50-an disahkan oleh hospital kerajaan sebagai golongan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu menguruskan diri sendiri sejak tahun 2000 kerana sakit mental.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyakit isterinya menjadi lebih teruk sejak tiga tahun lalu apabila terpaksa memakai lampin pakai buang dan perlu makan ubat penenang yang dibekalkan doktor secara berjadual.

“Semuanya bermula pada 1995 ketika kami tinggal di Taman Wilayah, Kuala Lumpur. Isteri mengalami kemurungan dan waktu itu dia masih boleh mengurus diri sendiri. Namun kini isteri bukan hanya mudah mengamuk dan hilang kawalan emosi, malah turut merosakkan barang-barang dalam rumah. “Pada waktu itu kami tinggal di tingkat empat dan risiko untuk dia terjun cukup besar,” katanya ketika ditemui S2 di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Wahyu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kebimbangan itu menyebabkan Wan Yusoff sukar keluar bekerja. Bukan hanya risau keselamatan isterinya, tetapi juga anak-anak yang ditinggalkan bersama isteri.

Keadaan menjadi bertambah getir apabila dia disahkan menghidap penyakit gout dan memaksanya lebih banyak menghabiskan masa di rumah. “Saya ada sedikit kemahiran membaiki komputer dan pendawaian elektrik, tetapi itupun saya hanya berani ambil kerja-kerja yang tidak memerlukan masa panjang. Paling lama hanya dua jam,” katanya.

Masalah itu menyebabkan bukan hanya bil utiliti dan sewa rumah sering kali tertunggak, malah bekalan makanan dan minuman terpaksa dicatu bagi memastikan mereka sekeluarga tidak kebuluran.

Wan Yusoff pernah mengusahakan kafe siber di Sungai Buaya, Rawang tetapi mendapat bantahan penduduk setempat yang mendakwa perniagaan itu menjadi antara punca kegiatan mencuri meningkat di kawasan tersebut.

“Semasa kedai itu beroperasi saya boleh bernafas sikit, tetapi penduduk dakwa anak-anak mereka mencuri duit untuk main game di kedai saya. Itu menyebabkan saya terpaksa tutup perniagaan tersebut,” katanya.

Anak-anak tetap ke sekolah

Dalam menempuh cabaran hidup, Wan Yusoff tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anaknya. Mereka tetap ke sekolah walaupun pada ketika tertentu ada anak-anaknya terpaksa ponteng sekolah untuk menjaga ibu mereka ketika dia keluar mencari rezeki.

Menurutnya, anak-anaknya juga antara murid yang kerap kena marah oleh guru kerana lambat tiba ke sekolah kerana terpaksa menggunakan pengangkutan awam sebab tidak mampu membayar yuran van sekolah.

“Semasa tinggal di Taman Wilayah, saya hantar anak-anak ke sekolah dengan pengangkutan awam yang hanya melalui kawasan perumahan kami sejam atau dua jam sekali. Jika terlepas, lambatlah tiba ke sekolah.

“Bila pindah ke Taman Wahyu pada 2004, adik saya bermurah hati menghadiahkan sebuah motosikal Modenas lama untuk memudahkan saya hantar anak-anak ke sekolah dan lain-lain urusan.Malangnya motosikal itu kerap rosak dan mengambil masa yang lama untuk dibaiki kerana kekurangan wang,” ujarnya.

Wan Yusoff percaya hanya melalui pendidikan nasib seseorang akan berubah. Dengan pendidikan, seseorang itu akan memiliki kemahiran tertentu yang boleh digunakan bagi menjana pendapatan sendiri.

“Pendidikan penting untuk anak-anak berdikari. Apabila kami berdua tiada nanti, mereka boleh mendapat kerja yang baik kerana memiliki kelulusan akademik yang tinggi,” katanya yang memiliki tujuh anak iaitu lima perempuan dan dua lelaki.

Ada sinar menanti

Nasib keluarga Wan Yusoff mula berubah apabila mereka berpindah ke PPR Taman Wahyu pada 2004. Mereka dimaklumkan bahawa Baitulmal MAIWP ada skim bantuan yang sesuai untuk keluarga berkenaan.

Mereka tidak hanya mendapat bantuan kewangan dari Baitulmal pada 2003, bahkan anak-anak turut menikmati biasiswa untuk belajar di institusi milik MAIWP sehingga tamat pengajian.

Isterinya, Rashidah turut menerima bantuan perubatan am iaitu lampin pakai buang dan susu secara bulanan sejak 2016 sehingga kini.

“Bantuan Baitulmal cukup berharga buat saya dan keluarga kerana hidup kami tidak seperti sebelum ini. Kos perubatan isteri dan pengajian anak-anak tidak lagi terbantut macam sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, MAIWP akan sentiasa proaktif mencari dan mengenal pasti golongan asnaf bandar yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee berkata, MAIWP menyasarkan untuk memberi bantuan kepada kira-kira 500 keluarga asnaf (kategori kritikal) setiap tahun dalam usaha meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

“MAIWP menerusi Jawatankuasa Baitulmal akan meneruskan pemberian seperti ini kerana menyedari tentang keperitan kos rawatan yang tinggi di samping mengenal pasti apa lagi bantuan yang boleh disalurkan.

“Kita juga akan turun padang walau apa pun rintangan kerana masyarakat khususnya pemberi zakat sememangnya mahu mengetahui ke mana zakat mereka disalurkan,” katanya.

Selain berpeluang menyelami kelangsungan hidup dan meninjau keperluan lain, Syed Hussein turut menyampaikan bantuan am perubatan bagi susu dan lampin pakai buang kepada empat keluarga asnaf yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini