LONDON 1 Mei – Menjelang Grand Prix (GP) Sepanyol di Jerez hujung minggu ini, juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi teringat kembali insiden melucukan yang pernah dialami di litar sama, 20 tahun lalu.
Rossi, 40, yang terkenal dengan julukan The Doctor kerana kehebatannya di atas trek lumba mengakui, GP Sepanyol sentiasa menjadi perlumbaan istimewa buatnya kerana dia sudah melakar 21 kemenangan (dalam semua kelas).
Bagaimanapun kata penunggang Yamaha dari Itali itu, apa yang membuatkan ‘hubungannya’ dengan Jerez lebih menarik adalah detik 1999 apabila dia melakukan perkara paling gila dalam perlumbaan motosikal dunia.
Rossi yang ketika itu beraksi dalam kelas 250cc memberhentikan perlumbaan untuk memasuki tandas bergerak yang diletak di tepi trek.
Biarpun saingannya terganggu seketika, namun Rossi masih mampu memintas dua pelumba teratas, Tohru Ukawa dan Loris Capirossi untuk merangkul kejuaraan 250cc pertamanya.
Selepas mengharungi tiga perlumbaan musim ini, Rossi berada di tangga kedua kedudukan pelumba dunia dengan 51 mata, tiga mata di belakang rakan senegara yang juga penunggang Ducati, Andrea Dovizioso.– AGENSI











