DUNGUN 27 Mei – Kerajaan akan memperkenalkan satu sistem pangkalan data bagi memudahkan usaha mengenal pasti pemohon yang layak memiliki rumah mampu milik (RMM).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sistem yang dijangka disiapkan selewat-lewatnya pada awal tahun depan itu akan dapat mengelakkan pertindihan permohonan termasuk menapis pemohon RMM buat kali kedua.
“Sebelum ini kita melihat ketidaktelusan dalam sistem pengurusan permohonan dengan mereka yang tidak layak tetapi berpeluang mendapat rumah meskipun sudah memiliki kediaman dan perkara ini akan dipastikan tidak berlaku lagi.
“Pemohon boleh mendaftar secara dalam talian sebelum maklumat mereka dimasukkan dalam sistem terbabit.
Kita ambil contoh seperti sistem bank apabila kita masukkan nombor kad pengenalan, kesemua data yang berkaitan akan terpapar dengan cepat dan ini yang akan kita lakukan,” katanya selepas merasmikan majlis Iftar Pakatan Harapan Dungun bersama Komuniti di Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini semalam.
Raja Kamarul Bahrin berkata, pihaknya menerima banyak keluhan daripada orang ramai yang kecewa kerana terpaksa menunggu berpuluh tahun untuk mendapatkan RMM namun, kediaman berkenaan diberikan kepada mereka yang telah memiliki rumah sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua kerajaan negeri supaya segera menyerahkan data permohonan RMM di kawasan masing-masing. – UTUSAN ONLINE











