BERLIN 5 Mei- Bayern Munich mengesahkan pemain berpengalamannya, Franck Ribery akan mengakhiri kariernya selama 12 tahun bersama kelab gergasi Jerman itu pada penghujung musim ini.
Dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman web kelab itu, hari ini, pasukan Bundesliga itu mengumumkan pemain kelahiran Perancis itu tidak akan melanjutkan kontraknya melebihi Jun 2019.
Ribery,36, mengesahkan dia dan rakan sepasukannya, Arjen Robben yang turut meninggalkan kelab tersebut musim ini akan dianugerahkan perlawanan perpisahan, tahun depan.
“Ketika saya tiba di Bayern ia adalah mimpi jadi kenyataan.
“Tidak mudah untuk meninggalkannya tetapi kami tidak akan lupa apa yang kami capai bersama,”kata Ribery yang menyertai kelab itu pada 2008 dan memenangi lapan gelaran Bundesliga sepanjang tempoh 12 tahun.
Sementara itu, Robben, 35, mengesahkan perpisahannya dengan Bayern pada penghujung tahun lalu dan tindakannya dijangka akan disusuli rakan baiknya, Ribery dengan juara Jerman itu dijadual melakukan rombakan besar-besaran musim depan.
Kedua-dua pemain sayap lincah itu menjadi antara tonggak Bayern yang memenangi Liga Juara-Juara pada 2013 selain merangkul beberapa gelaran berganda domestik.
Bayern menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Karl-Heinz Rummenigge mengumumkan mereka akan mengadakan perlawanan perpisahan yang besar untuk Ribery dan Robben pada 2020 nanti. – AFP











