KUALA LUMPUR 27 Mei – Peminat watak adi wira popular, Batman dipelawa untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-80 ikon komik itu di SkyAvenue, Resorts World Genting mulai 10 Mei hingga 10 Julai ini.
Resorts World Genting dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya meraikan adi wira berkenaan sepanjang dua bulan itu memandangkan tempoh lapan dekad adalah jangka masa yang lama bagi watak Batman.
Naib Presiden Bahagian Hiburan dan Program, Resorts World Genting, Kevin Tann berkata, sambutan ulang tahun tersebut merupakan julung kali diadakan di Asia Tenggara bagi menghargai karakter Batman yang diadakan pada 9 Mei lalu.
“Kami mendapat kerjasama Warner Bros yang membawa karakter kesukaan ramai itu ke Resorts World Genting sebagai lokasi sambutan pada kali ini,” katanya.
Pelbagai pertunjukan dan acara menarik akan diadakan sepanjang sambutan berkenaan antaranya, persembahan eksklusif Batman SkySymphony memaparkan pelbagai versi Bat-Emblem, bergambar bersama patung Batman saiz sebenar, acara Meet & Great tiga kali sehari di Time Square Stage dan persembahan wayang kulit memaparkan Batman.
Karakter Batman yang muncul dalam Komik Detective (DC) pada Mei 1939 turut popular melalui siri televisyen, kartun, filem, permainan dan taman tema menjadi kesukaan ramai tidak mengira usia. – UTUSAN ONLINE











