KUALA LUMPUR 6 Mei – Seorang remaja maut, tiga cedera parah dan seorang lagi cedera ringan apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam satu insiden kemalangan di Jalan Baru Sematan, Kuching, Sarawak hari ini.
Memetik laporan Utusan Borneo, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai David Dillon Anton, 19, beralamat Kampung Bungai Raya, Simunjan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, kereta dinaiki lima mangsa itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.
Menurutnya, sebanyak tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikerahkan ke lokasi untuk memberi bantuan selapas menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 6.25 pagi.
“Seorang mangsa berjaya keluar sendiri, tiga mangsa tercampak keluar di tepi jalan, manakala seorang lagi mangsa masih tersepit di bahagian penumpang belakang.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, tiga mangsa yang cedera parah dan seorang lagi yang cedera ringan berusia 16 hingga 25 tahun dibawa ke Hospital Lundu untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserah kepada pihak polis untuk tidak selanjutnya. – UTUSAN ONLINE











