KUALA LUMPUR 11 Mei – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi di sebuah tasik di Sibu, Sarawak hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian berlaku ketika mangsa, Richmond Teo Yii Wen, 17, bersama rakan-rakannya sedang mandi di tasik berhampiran PPR Bandar Ria Park, Sibu Sarawak.
“Mangsa dikatakan mandi di tempat yang agak dalam bersama rakan-rakannya dan dikhuatiri lemas selepas dia tidak naik semula selepas itu.
“Rakan-rakan yang mula sedar mangsa telah lemas cuba mencarinya dengan bantuan beberapa orang penduduk setempat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mangsa telah ditemukan dan dibawa ke tebing sebelum pasukan bomba tiba dan cuba membuat bantuan asas kecemasan (CPR) namun gagal.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas pihak perubatan hospital tiba di lokasi kejadian. – UTUSAN ONLINE











