BANGKOK – Rakyat Malaysia yang akan bercuti ke Thailand semasa Aidilfitri yang akan datang dan cuti sekolah ini dinasihati agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini
Duta Malaysia di Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, jumlah rakyat Malaysia yang datang ke negara ini terutama di selatan Thailand semasa musim percutian boleh meningkat secara ketara.
Beliau berkata, rakyat Malaysia terutama yang tinggal di utara Semenanjung seperti Perlis, Kelantan dan Kedah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk di selatan Thailand – Narathiwat, Yala dan Pattani dan mereka akan kunjung mengunjungi semasa musim perayaan itu nanti sebagai menjalinkan hubungan kekeluargaan.
“Mereka yang memandu dan menaiki kenderaan ke Thailand perlu mengambil lebih langkah berjaga-jaga. Pandulah dengan cermat: fikirkanlah mereka yang tersayang di kampung halaman.
“Semasa musim percutian, kami (kedutaan) menerima banyak kes kemalangan jalan raya. Kami berharap tidak ada kemalangan pada cuti Hari Raya ini,” katanya kepada Bernama di sini.











