LONDON 10 Mei – Syarikat penerbangan dan lapangan terbang terbaik serta terburuk di dunia untuk tahun 2019 telah diumumkan dalam kajian terbaharu.
Daily Mail melaporkan, Qatar Airways menduduki tangga teratas sebagai syarikat penerbangan nombor satu untuk tahun kedua dengan American Airlines di kedudukan kedua.
Thomas Cook Airlines pula berada di kedudukan paling bawah selepas easyJet.
Kajian tersebut mendedahkan, lapangan terbang utama untuk tahun kedua adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo manakala Lapangan Terbang Lisbon Portela dinamakan sebagai yang paling teruk.
Kajian itu dilakukan oleh AirHelp, sebuah syarikat yang membantu penumpang dengan tuntutan pampasan untuk penerbangan tertangguh atau dibatalkan.
AirHelp meletakkan kedudukan 72 syarikat penerbangan dan 132 lapangan terbang daripada 40,000 ulasan berdasarkan prestasi semasa dan kualiti perkhidmatan serta pilihan makanan dan minuman selain kemudahan menuntut bayaran balik.
Di peringkat syarikat penerbangan, Aeromexico berada di kedudukan ketiga diikuti SAS (empat) dan Qantas (lima) selain LATAM Airlines (enam), WestJet (tujuh), Luxair (lapan), Austrian Airlines (sembilan) dan Emirates (10).











