‘Pulih dahulu, baru sertai kem latihan’ - Utusan Malaysia

‘Pulih dahulu, baru sertai kem latihan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mei – Penjaga gol utama skuad hoki negara, S. Kumar mahu memastikan kecederaan yang dialami pulih sepenuhnya sebelum kembali menyertai kem latihan intensif di Eropah, Julai depan.

Kumar, 39, berkata beliau tidak mahu terburu-buru memulakan aksi bagi mengelak kecederaan lebih teruk mungkin berlaku dan menjejaskan kariernya.

“Mungkin pada pandangan orang, kecederaan saya biasa tapi sebenarnya saya alami kecederaan serius. Otot saya hampir putus dan koyakan itu agak panjang. Saya rasa sehingga kini, kecederaan saya sudah 70 peratus pulih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya hanya mahu beraksi semula bila saya pulih sepenuhnya kerana saya bimbang kecederaan itu berulang sehingga menyebabkan saya tidak boleh lagi bermain hoki,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Kumar yang mengalami kecederaan koyak otot paha ketika menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM), Februari lepas, bagaimanapun berharap dapat turut serta ke Eropah untuk mengharungi kempen perlawanan ujian menentang Jerman, Sepanyol, England, Belanda dan Belgium.

Ekoran kecederaan yang dialaminya, Kumar terlepas dua kejohanan besar – Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Mac dan Siri Akhir FIH 2019, April lepas.

Dalam pada itu, Institut Sukan Negara (ISN) menjangkakan khidmat Kumar boleh digunakan menjelang kem latihan intensif di Eropah sekali gus dapat membantu kempen Malaysia dalam kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Oktober atau November nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata proses pemulihan kecederaan koyak otot yang dialami Kumar menunjukkan perkembangan positif.

“Setakat ini kecederaan Kumar menunjukkan perkembangan lancar. Pada masa ini kita masih dalam proses pemulihan spesifik, kita telah buat ujian MRI (Pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik) pada April dan sudah nampak penyembuhan ketara dan hampir pulih sepenuhnya.

“Selepas ini kita akan buat penilaian kekuatan otot dalam masa dua hingga tiga minggu ini dan sekiranya berjalan lancar kita jangka dia akan kembali jalani latihan penuh dalam masa empat minggu lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di ISN, di sini hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meminta ISN supaya menggunakan teknologi sains sukan bagi mempercepatkan proses pemulihan Kumar, yang dilihat cukup penting untuk membantu kempen Malaysia dalam kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini