KUALA LUMPUR 29 Mei – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menerima bayaran balik pinjaman hampir RM558.9 juta sehingga Mac tahun ini.
Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis PTPTN, Abdul Ghaffar Yusof berkata, bayaran balik pinjaman yang sepatutnya diterima agensi itu adalah kira-kira RM300 juta bagi tempoh sebulan.
“Setakat ini, kita ada kutipan dari tahun lepas lebih kurang RM3.35 bilion yang boleh digunakan untuk membayar pelajar-pelajar baharu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Hadiah Pertandingan Bebas Hutang PTPTN 2018/2019 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YouthsToday.com, Jazz Tan Yee Mei dan Ketua Pegawai Eksekutif GoPay, Sashi Kumar.
Pada majlis tersebut, seorang graduan lulusan dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kampus Sungai Long, Looi Pek Chuan memenangi pertandingan tersebut.
Pek Chuan, 24, telah melakukan transaksi lebih daripada 10,974 melalui aplikasi GoPay dianugerahkan sebagai pemenang sekali gus menyaksikan pinjaman berjumlah RM33,709.19 dengan PTPTN dibiayai sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Abdul Ghaffar berkata, bagi tempoh setahun, PTPTN perlu mengutip bayaran balik pinjaman sebanyak RM4 bilion untuk diberikan kepada pelajar baharu dan sedia ada.
“Pada masa ini, secara purata PTPTN menerima lebih kurang RM150 juta sehingga RM180 juta sebulan. Keperluan itu belum lagi termasuk kos, dana dan sebagainya.
“Memang satu jumlah yang besar, jadi kerajaan harus mewujudkan langkah terbaik bagi memastikan pelajar-pelajar lain tidak tersisih daripada melanjutkan pelajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











