KUALA LUMPUR 7 Mei – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membuat penampilan pertama dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan di Kampung Sim Sim, Sabah malam tadi, melaungkan sokongan partinya kepada calon pembangkang.
Beliau dilaporkan berkata, UMNO Sabah akan menggerakkan penyokongnya di Sandakan untuk mengundi calon pembangkang daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin.
“Saya mahu jelaskan, terdapat 14,000 pengundi Melayu (di Sandakan) dan 9,700 daripadanya adalah ahli UMNO yang merupakan pengundi di Sandakan,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Malaysiakini hari ini.
Kata-kata Bung Moktar disambut sorakan 300 mereka yang hadir dalam ceramah tersebut.
Menurut laporan, selain daripada penyokong PBS, mereka yang menghadiri ceramah berkenaan dilihat terdiri daripada penyokong UMNO, Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Mereka dikatakan bersetuju dengan ucapan Bung Moktar bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah banyak memungkiri janji sejak berkuasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mendakwa DAP Sabah bergantung kepada DAP di Semenanjung dan menggesa pengundi memilih parti tempatan seperti PBS.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Bung Moktar berkata, beliau mahu menyertai kempen lebih awal tetapi tertangguh kerana ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu dan berdepan tuduhan di mahkamah di Kuala Lumpur.
Bekas Pengerusi Felcra itu dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan rasuah melibatkan RM2.8 juta pada Jun 2015.-UTUSAN ONLINE











