PUTRAJAYA – Seramai 270 anggota polis akan keluar sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin dan Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pusat pengundian awal Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin bermula pada pukul 8 pagi hingga 2 petang manakala Rumah Kelab IPD Sandakan dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Jelasnya, proses pengundian awal berkenaan akan disaksikan oleh setiap ejen calon serta pemerhati pilihan raya membabitkan wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik SPR.
“SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara secara langsung menerusi laman Facebook suruhanjaya ini.
“Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dijalankan pada hari pengundian pada Sabtu ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhar Azizan, proses pengiraan akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding dan pemerhati pilihan raya. – K! ONLINE











