PUTRAJAYA 6 Mei- Sebanyak 270 orang pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Sabah yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, mereka akan mengundi di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin dan Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.
“Pusat pengundian awal di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan dibuka mulai pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Manakala bagi Rumah Kelab IPD Sandakan dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh setiap ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Azhar Azizan, pihaknya juga akan menyiarkan proses pengundian awal itu secara Facebook Live menerusi laman sosial Facebook rasmi milik suruhanjaya itu.
Selain itu katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundiaan pada 11 Mei ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan.
“Proses pengiraan undi itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya,” katanya.-UTUSAN ONLINE











