Premis hiburan diserbu, 10 GRO ditahan - Utusan Malaysia

Premis hiburan diserbu, 10 GRO ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Mei – Polis menahan 10 wanita warga China yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah premis hiburan di ibu negara, awal pagi tadi.

Dalam operasi pada pukul 1 pagi dijalankan sepasukan polis dari cawangan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu, seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun dan semasa serbuan dibuat, penjaga premis juga gagal mengemukakan lesen perniagaan pusat hiburan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, penjaga premis ditahan reman selama dua hari di bawah Seksyen 4((1)) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 dan Seksyen 55B Akta Imigresin 1959/63, manakala 10 wanita warga China ditahan reman di bawah Seksyen 39 Peraturan Imigresen 1963.

“Selain itu, pasukan BSJN menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 29 lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam premis ketika serbuan dijalankan dan hasilnya, enam lelaki dan seorang wanita didapati positif ketamin.

“Mereka direman empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fahmi, pihaknya sentiasa memantau aspek keselamatan premis perniagaan, penyalahgunaan pekerja asing dan penglibatan pengusaha-pengusaha dalam aktiviti haram seperti penyalahgunaan dadah dan perkhidmatan seks.

“Untuk membanteras kegiatan ini memerlukan penguatkuasaan membabitkan pelbagai agensi dan kita menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Cawangan D7 IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 dan berhubung dengan Asisten Superintenden Didi Fairuz Zainal Abidin dan Asisten Superintenden Ahmad Safry Abdullah Azizi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini