PPN Kelantan, PPK Bachok fail saman pemula - Utusan Malaysia

PPN Kelantan, PPK Bachok fail saman pemula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Mei – Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bachok memfailkan saman pemula terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bagi membantah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019.

Saman tersebut difailkan oleh plaintif-plaintif iaitu Anggota Jemaah Pengarah PPN Kelantan, Datuk Aimi Jusoh dan Pengerusi Anggota Jemaah Pengarah PPK Bachok, Datuk Awang Daud menerusi Tetuan Aziz Derashid & Co di Mahkamah Tinggi di sini semalam

Peguam, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, kedua-dua plaintif turut menamakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, para plaintif memohon satu deklarasi bahawa Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 bertarikh 22 April 2019 adalah tidak sah dan terbatal di samping memohon satu injunksi interim supaya peraturan tersebut tidak dikuat kuasa sehingga kes saman selesai.

“Plaintif-plaintif turut memohon Mesyuarat Agung Tahunan PPK yang sepatutnya dibuat selewat-lewatnya 31 Julai 2019 ditangguhkan sehingga penyelesaian kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, antara alasan permohonan dibuat ialah plaintif tidak dirujuk atau dirunding atau dimaklumkan lebih awal sebelum Peraturan (Pindaan) 2019 tersebut diluluskan.

Katanya, defendan-defendan juga telah bertindak secara ultra vires apabila mewujudkan Peraturan (Pindaan) 2019 yang dibuat secara berniat jahat (malafide) terhadap plaintif-plaintif.

“Peraturan (Pindaan) 2019 ini bermotifkan politik bagi mengambil alih Pertubuhan Peladang secara tidak demokratik dengan mengambil kesempatan di atas ketidakseimbangan pada bilangan Jemaah Pengarah yang diwujudkan oleh defendan-defendan sendiri,” katanya.

Antara pindaan dibuat dan diwartakan pada 1 Mei lalu adalah membenarkan pertambahan jawatan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang boleh dilantik oleh Menteri, Datuk Salahuddin Ayub pada peringkat PPK, PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Sebagai contoh, sebelum ini pada 2016, sembilan AJP PPN dipilih secara demokrasi oleh ahli akar umbi manakala Menteri pula boleh melantik empat anggota secara terus.

Apabila Peraturan (Pindaan) 2019 diwartakan, akar umbi hanya boleh memilih empat wakil manakala Menteri pula boleh melantik lima wakil secara terus.

Sementara itu, Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail berkata, beliau mewakili semua Pengerusi PPN seluruh negara kecuali Perlis menyokong penuh tindakan PPN Kelantan dan PPK Bachok memfailkan saman pemula tersebut untuk membatal atau menangguhkan

Peraturan (Pindaan) 2019.

“Ini kerana tidak ada langsung perbincangan antara pihak kementerian dengan atau LPP dengan pemimpin negeri dan kawasan, malah menteri sendiri mengesahkan beliau hanya berbincang dengan pengurusan tertinggi LPP dan Nafas sahaja.

“Tindakan mahkamah juga diambil kerana para pengerusi PPN negeri ada menulis surat kepada menteri untuk berbincang namun tidak dilayan oleh beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini