SHAH ALAM – Polis Selangor telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kejadian seorang kanak kanak perempuan berusia enam tahun yang ditemui berjalan seorang diri di tepi jalan raya di Puncak Alam Fasa 2, dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan (IP) itu dibuka selepas pihaknya menerima satu laporan polis semalam di Balai Polis Sungai Buloh.
Beliau berkata, pihaknya juga meminta ahli keluarga kanak-kanak itu menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Samri Abd. Hamid di talian 03-61572222 bagi membantu siasatan.
“Pihak polis telah mengesan satu video viral seorang kanak kanak perempuan yang didapati berjalan seorang diri di tepi jalan raya di Puncak Alam Fasa.
“Kanak kanak ini telah dijumpai oleh seorang lelaki dan kemudiannya menghantar kembali kepada bapa kanak kanak tersebut yg sedang tidur di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak kanak 2001(kesalahan kerana membiarkan kanak kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan).
Terdahulu, dalam video berdurasi 7 minit 32 saat yabng tular itu memaparkan kanak-kanak itu berjalan seorang diri dan cuba melintas jalan utama namun diselamatkan seorang penunggang motosikal dan diserahkan kepada bapanya. – K! ONLINE











