Polis berkas 18 individu dalam serbuan pusat hiburan di ibu negara - Utusan Malaysia

Polis berkas 18 individu dalam serbuan pusat hiburan di ibu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 18 individu termasuk 10 gadis pelayan pelanggan (GR0) warganegara China dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Dang Wangi di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.15 pagi itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi juga menahan seorang lelaki warganegara tempatan yang mengaku sebagai penjaga premis tersebut.

“Kesemua tangkapan berusia antara 24 hingga 35 tahun dan ketika serbuan dilakukan, penjaga premis gagal mengemukakan lesen perniagaan pusat hiburan yang sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Polis turut menahan tujuh individu warganegara tempatan termasuk seorang wanita kerana didapati positif dadah jenis ketamin setelah menjalani ujian air kencing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Fahmi menambah, kesemua tangkapan telah dibawa ke lokap IPD Dang Wangi untuk siasatan selanjutnya.

“Penjaga premis tersebut direman selama dua hari sehingga esok mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayan Persekutuan 1992 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala 10 GRO tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 Peraturan Imigresen 1963 dan selebihnya direman selama empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak polis akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap aspek keselamatan yang melibatkan premis perniagaan, penyalahgunaan pekerja asing dan penglibatan pengusaha pusat hiburan dalam aktiviti haram seperti dadah dan khidmat seks.

“Bagi membanteras kegiatan ini, ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak khususnya orang ramai membantu menyalurkan maklumat.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram ini boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222,” katanya – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini