LONDON 7 Mei – Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino mahu semua pemainnya berusaha mengatasi defisit 1-0 Ajax dalam aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.
Pochettino yakin Tottenham kendaliannya masih berpeluang mara ke final walaupun tewas dalam aksi pertama di London minggu lalu.
“Kami berdepan dua final menentang Ajax dan Everton dan ia bergantung kepada kami untuk menamatkan saingan dalam kedudukan terbaik atau sebaliknya pada musim ini.
“Ketika ini tiada sesiapa yang jangka kami mampu berada di posisi ini pada minggu terakhir pertandingan.
“Kami berada di kedudukan di mana ia bergantung kepada kami untuk ke final (Liga Juara-Juara) atau tidak dan berada dalam kelompok empat teratas (Liga Perdana).
“Bagi saya ia adalah minggu yang amat penting dan apa pun yang berlaku, saya tetap bangga,” kata Pochettino.
Ketika ini Spurs berdepan prestasi yang tidak menentu terutama selepas tewas 1-0 di Bournemouth Sabtu lalu, kekalahan yang membantutkan peluang mereka untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dengan berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Itu juga adalah kekalahan ketiga berturut-turut Tottenham dalam semua pertandingan ketika ini. – AFP











