LONDON 11 Mei – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak mahu memikirkan lebih mendalam tentang masa depannya bersama kelab itu ketika ini sebaliknya akan kembali membincangkan perkara berkenaan selepas tamat aksi akhir Liga Juara-Juara, bulan depan.
Kata Pochettino dia sendiri akan berjumpa dengan pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy untuk berbincang berkaitan perkara berkenaan kerana pengendali berusia 47 tahun itu belum mengesahkan statusnya bersama pasukan sehingga kini.
Sebelum ini Pochettino dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Real Madrid namun baru-baru ini memberi bayangan sebelum aksi di Amsterdam bahawa dia akan mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan jika pemainnya mempamerkan kecemerlangan dan menjulang trofi berprestij itu.
“Jelas sekali lima tahun lalu keutamaan adalah memastikan stadium siap dibina serta kelengkapan kemudahan di padang latihan.
“Kini kami sangat bangga di atas kemampuan menguruskan situasi tersebut walaupun ia sangat sukar namun ia memberi kesan kepada aspek bola sepak.
“Bagi saya ketika ini penting untuk melihat gambaran jelas mengenai perancangan, cabaran yang bakal dihadapi,” kata Pochettino. – AGENSI











