PKR Johor mahu PM, TMJ henti berbalah - Utusan Malaysia

PKR Johor mahu PM, TMJ henti berbalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mei – PKR Johor mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhenti berbalah secara terbuka sempena bulan Ramadan.

HASSAN ABDUL KARIM

Pengerusinya, Hassan Abdul Karim mengharapkan hubungan yang baik antara kedua-dua pihak dapat dibina demi membantu Kerajaan Negeri Johor dengan Menteri Besar serta jemaah exco yang baharu dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dr. Mahathir adalah ketua eksekutif negara dan seorang bertaraf negarawan, tidak manis terus berbalah pendapat yang kadang-kadang kelihatan agak peribadi apabila menyerang TMJ.

“Begitu juga, TMJ adalah pewaris takhta Johor yang mempunyai kepimpinan yang berkarisma, berani dan bijak berbicara akan hilang seri dan hilang hormat daripada kalangan rakyat jika terus menentang secara terbuka Dr. Mahathir seorang ketua kerajaan demokratik yang dipilih rakyat, apatah lagi beliau telah lanjut berusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini dalam sidang akhbar yang diadakan di Putrajaya sempena setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, Dr. Mahathir menyifatkan Tunku Ismail sebagai seorang budak kecil bodoh dan tidak tahu apa yang berlaku.

Kenyataan yang dilihat kasar itu dibuat sebagai menjawab kenyataan terbaharu TMJ berhubung perkara baik dilakukan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak dihebohkan khususnya jumlah tanah Sultan Johor yang dikurniakan untuk rakyat dan kebaikan lain.

Sementara itu kata Hassan lagi, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan, beliau sendiri sedia memainkan peranan sebagai jambatan untuk membina hubungan yang baik antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai anak Johor dan rakyat Malaysia saya berpendapat hubungan yang positif, jernih dan konstruktif antara Putrajaya dan pihak Istana Johor akan banyak membantu dalam membangunkan negeri Johor dan menyelesaikan banyak masalah rakyat di negeri ini.

“Lebih-lebih lagi negeri ini mempunyai banyak projek pembangunan berskala besar seperti Rapid Petronas di Pengerang, Koridor Ekonomi Iskandar Malaysia, projek Sistem Transit Pantas (RTS), Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta projek landasan keretapi elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini