MADURAI, India – Sekumpulan pakar bedah di India berjaya membuang satu ketumbuhan otak didakwa ‘paling besar di dunia’ dengan anggaran berat 5 kilogram (kg) daripada kepala seorang pesakit lelaki di sini baru-baru ini.
Akhbar Daily Mail melaporkan bahawa pesakit yang dikenali sebagai Sakthivel, 31, itu berasal dari pekan Dindigul di selatan India.
Dia menghidap tumor itu ketika berusia 11 tahun dan membiarkan ketumbuhan itu terus membesar pada bahagian kepala kerana berasa takut untuk dibedah selain tidak mampu membayar kos rawatan.
Pakar bedah mendapati ketumbuhan itu hampir menyamai saiz kepala pesakit. Sakthivel berkunjung ke Hospital Awam Rajaji di sini untuk mendapatkan rawatan pada pertengahan bulan ini.
“Pesakit itu datang ke hospital kami pada minggu kedua bulan Mei dengan satu ketumbuhan besar di atas kepala sehingga berdepan kesukaran untuk mengerakkan lehernya,” kata pakar bedah saraf, Dr. J. Srisaravanan.
“Dia membiarkan ketumbuhan itu membesar selama 20 tahun disebabkan ketakutan yang timbul disebabkan abangnya meninggal dunia ketika menjalani pembedahan berbeza sebelum ini,” tambahnya.
Sakthivel akhirnya bersetuju untuk menjalani pembedahan selama 10 jam itu beberapa hari lalu dan kini, dia dilaporkan semakin pulih.
Terdahulu, lelaki itu pernah cuba mendapatkan rawatan di beberapa hospital swasta yang mahu mengenakan bayaran 500,000 rupee (RM30,090) untuk pembedahan. Caj dikenakan pihak Hospital Awam Rajaji pula tidak didedahkan. – Agensi











