JOHOR BAHRU – Keluarga kepada seorang pengawal keselamatan, Raja Nazrul Shah Raja Idris yang ditemui meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bertugas melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri Johor yang tampil memberikan pencen penakat kepada waris semalam.
Raja Nazrin Shah, 34, abang kepada Raja Nazrul berkata, keluarganya menerima pencen penakat sebanyak RM300 sebulan seumur hidup Raja Nazrul yang meninggal dunia pada usia 31 tahun.
“Kami menerima sumbangan pencen penakat pertama semalam sebanyak RM99.25 dan RM2,000 untuk faedah pengurusan mayat selain sumbangan peribadi Ahli Parlimen Johor Bahru, DescriptionAkmal Nasrullah Mohd. Nasir sebanyak RM300.
“Sumbangan ini kami terima dengan penuh berbesar hati, bersyukur dan berterima kasih. Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami sekeluarga lebih-lebih lagi untuk persediaan sambut Aidilfitri nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hadir menyampaikan sumbangan itu ialah Akmal Nasrullah serta Pengarah Perkeso Negeri Johor, Tong Sing Chuang di kediaman keluarga Raja Nazrul di Kampung Majidee di sini semalam.
Raja Nazrin berkata, adiknya, Raja Nazrul ditemui meninggal dunia ketika tidur di hostel tempat kerjanya di Multi Meridian Sdn. Bhd. pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.
Katanya, sebelum kejadian, adik bongsunya itu mengadu sakit perut dan demam sebelum dia muntah ketika pulang daripada kerja sehari sebelum dia meninggal dunia.
Jelas Raja Nazrin, menurut rakan sekerja, Raja Nazrul muntah-muntah dan dia mengambil keputusan untuk berehat di hostel sebelum rakannya menyedari adiknya tidak datang kerja pada keesokkan harinya.
“Rakannya kemudiannya menemui Raja Nazrul sudah tidak bernyawa di tempat ditidur dan pihak hospital memaklumkan hasil bedah siasat akibat serangan jantung,” katanya.
Sementara itu, Sing Chuang berkata, waris Raja Nazrul iaitu ibunya, Shida Mohd. Shafi, 50, layak menerima pencen penakat sebanyak RM300 sebulan selama 31 tahun iaitu seumur hidup Raja Nazrul sebelum meninggal dunia. – K! ONLINE











