Perhilitan Melaka siasat penemuan bangkai harimau dahan - Utusan Malaysia

Perhilitan Melaka siasat penemuan bangkai harimau dahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 9 Mei – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri ini sedang menyiasat penemuan bangkai seekor harimau dahan di Kampung Kemuning, Alor Gajah yang tular dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Hasdi Husin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas ia tular dalam laman sosial dan sepasukan anggotanya diarahkan menyiasat lokasi kejadian iaitu kawasan ladang sejak semalam.

“Sepasukan lima anggota Perhilitan berada di lokasi sejak pukul 8 malam tadi dan mereka menemukan bangkai seekor harimau dahan yang terdapat kesan kecederaan di kaki dan leher.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bangkai haiwan yang dilindungi itu telah diambil untuk siasatan dan pihak kami Perhilitan juga akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti penuh haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beberapa keping foto tular dalam laman sosial menunjukkan beberapa individu termasuk lelaki warga asing dan anggota pasukan keselamatan bergambar bersama bangkai seekor harimau dahan atau nama saintifiknya `Neofelis nebulosa’ di satu kawasan ladang.

Mengulas lanjut, Mohd. Hasdi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun sekiranya disabitkan kesalahan memburu tanpa permit khas.

Beliau berkata, Jabatan Perhilitan memandang serius penyebaran gambar beberapa individu termasuk anggota pasukan keselamatan bersama bangkai harimau itu dan pihaknya akan mengesan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

“Harimau dahan adalah kategori haiwan jadual kedua yang dilindungi dan mana-mana pihak memiliki atau menyimpan objek haiwan tersebut seperti kuku, taring, kulit dan sebagainya boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen yang sama.

“Saya menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung gambar tersebut untuk tampil memberikan maklumat kepada Jabatan Perhilitan membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini