KUANTAN 3 Mei – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala di semua panggung wayang bagi mengesan penonton yang merakam tayangan filem sama ada menggunakan telefon bimbit atau alat perakam video.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd. Suffian Mohd. Abass berkata, sepanjang bulan lalu, sebanyak 14 bilik tayangan diperiksa di dua operator panggung wayang termasuk MBO dan Golden Screen Cinema (GSC) di seluruh negeri ini.
“Bagaimanapun tiada tangkapan atau perbuatan ‘curi rakam’ dikesan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Suffian, orang ramai atau penonton yang didapati melakukan perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 43A Anti Rakaman Kamera di bawah Akta Hakcipta 1987.
Katanya, mereka yang didapati melakukan kesalahan tersebut juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain daripada bertujuan untuk mendidik pengguna dan membantu industri perfileman negara, kita serius dalam menanggani kegiatan cetak rompak secara langsung ‘live streaming’ di media sosial seperti di Facebook serta Instagram terutama berhubung isu pelanggaran hak harta intelek,” katanya. – UTUSAN ONLINE










