SEBERANG PERAI – Seorang penjenayah pecah kenderaan yang menyasarkan kereta diletakkan di dalam kawasan masjid ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah kelmarin.
Suspek lelaki berusia 49 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira pukul 1 petang selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pecah kereta di pekarangan Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan pihaknya di rumah berkenaan telah menjumpai semula sebuah telefon bimbit jenama Asus yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.
“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi suspek dalam kegiatan berkenaan.
“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam tiga kes curi dalam kenderaan di kawasan Masjid Kubang Semang dan lima kes di Masjid Taman Selasih, Kulim, Kedah,” katanya sebentar tadi.
Suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikit Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, seorang pemuda berusia 25 tahun kerugian kira-kira RM500 selepas sebuah telefon bimbit jenama Asus dilarikan suspek yang memecah keretanya melalui pintu penumpang hadapan ketika singgah menunaikan solat Zuhur di Masjid Kubang Semang.
Kegiatan suspek bagaimanapun dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sehingga polis berjaya mengenal pasti identitinya. – K! ONLINE











