HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya kini dalam keadaan koma selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah lori tangki dalam satu kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kuala Lumpur menghala ke Ipoh di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian pukul 11.04 malam itu, lori tangki berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah stesen minyak di Serendah di sini.
“Apabila hendak membelok ke kanan memasuki stesen minyak berkenaan, sebuah motosikal jenis Kawasaki ER250 C yang datang dari laluan bertentangan telah gagal mengelak dan merempuh lori tangki tersebut.
“Rempuhan tersebut telah mengakibatkan penunggang motosikal, Rozaimy Adam, 21, meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
“Pemboncengnya yang juga berusia 21 tahun turut mengalami kecederaan parah pada kepala dan kini berada dalam keadaan koma,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Bak Phai, pemandu lori tangki yang berusia 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun dia kini ditahan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor bagi membantu siasatan.
“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas beliau. – K! ONLINE











