KUALA LUMPUR 29 Mei – UMNO berpandangan penubuhan lebih banyak parti politik berteraskan orang Melayu akan menyebabkan kaum tersebut semakin berpecah.
Ketika ditanya pemberita mengenai penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang diketuai oleh Datuk Dr. Ibrahim Ali baru-baru ini, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, UMNO tidak menentang sesiapa sahaja mahu menubuhkan parti politik atau sebarang organisasi.
Namun beliau melihat ia bakal memecahkan lagi kekuatan politik orang Melayu yang kini berpaut kepada empat parti utama iaiti UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Lebih banyak lebih memecahkan orang Melayu. Kita tidak tahu sejauhmana parti baharu ini akan mendapat sokongan.
“Cuma orang Melayu mungkin tidak gembira sedikit. Mengapa perlu ada banyak parti orang Melayu sedangkan ada usaha hendak satukan UMNO dan Pas,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Kenyataan beliau itu dilihat senada dengan pandangan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa penubuhan Putra akan memecahkan orang Melayu. – UTUSAN ONLINE











