Penoreh getah, tukang masak wanita didakwa edar dadah - Utusan Malaysia

Penoreh getah, tukang masak wanita didakwa edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 7 Mei – Seorang penoreh getah dan rakan wanitanya yang juga tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar di sini, hari ini atas tuduhan mengedar kanabis (ganja) lebih 89 kilogram (kg), dua minggu lalu.

Penoreh getah, tukang masak wanita didakwa edar dadah
BIBI ZAIDAA ABU BAKAR berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 89.7 kilogram (kg) pada bulan lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar di Kedah, hari ini. – UTUSAN ONLINE/Fariz Rusadio

Tertuduh, Mohd. Zulkhiri Awang Kechik, 31, dan Bibi Zaidaa Abu Bakar, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar kanabis seberat 89,700 gram (89.7kg) di pekarangan Balai Polis Langgar, Kota Setar, kira-kira pukul 7 pagi, 24 April lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Mat Shah, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam, G. Shanmugam dan R. Thevan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 26 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan lima ahli sindiket pengedaran dadah termasuk seorang warga emas dan dua orang wanita ditahan polis dalam serbuan berasingan di negeri ini dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Hasil serbuan tersebut, polis berjaya menemukan 94 ketul ganja yang disorokkan di bahagian bawah sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang telah diubah suai, dinaiki seorang lelaki dan wanita berdekatan persimpangan lampu isyarat Tanjung Musang, Pokok Sena, di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini