IPOH 3 Mei – Bekas bendahari Kelab Sukan dan Kebajikan di Jabatan Akauntan Negara Perak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM26,379.95, dua tahun lalu
Roziana Mohd. Dahalan, 38, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Wang Tak Dituntut (WTD) di jabatan berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak yang merupakan bendahari kelab tersebut didakwa melakukan pecah amanah apabila menyalahgunakan harta iaitu wang simpanan kelab untuk kegunaan sendiri dengan jumlah keseluruhan RM26,379.95 yang ditunaikan melalui cek.
Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Affin Bank Cawangan Ipoh Garden di Ipoh dari 9 Januari sehingga 3 Oktober 2017.
Pertuduhan terhadap wanita itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Syahrul Nizam Mohd Radhi.
Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jun depan untuk sebutan semula dan serahan dokumen.-UTUSAN ONLINE











